E-mel dari Hawaii: Merubah Fikiran pada Sejarah

mebah1jpgSERING kita melupakan sejarah yang sebenarnya menentukan kita pada saat ini atau pada masa depan.

Pada minggu lalu saya sempat membaca Asia Tenggara dalam Ming Shi Lu di sebuah laman sejarah di Internet yang terbuka kepada orang ramai: http://www.epress.nus.edu.sg/msl.

Tulisan ini dimuat di Berita Harian, Singapura, edisi 18 Maret 2009, dan dimuat di blog ini atas ijin penulis. Penulis menerima korespondensi dengan pembaca dan dapat dihubungi di mebah@hawaii.edu.

Ia mengandungi banyak maklumat tentang hubungan politik, ekonomi dan ketenteraan dari 1368-1644 antara Dinasti Ming di China dengan kerajaan-kerajaan Asia Tenggara.

Antara maklumat yang paling menarik ialah reaksi Kerajaan Ming (diketuai oleh Maharaja Cheng Hua) apabila negara Annam (Vietnam Utara sekarang) menyerang kerajaan Campa (Vietnam selatan sekarang) pada 1471 Masihi.

Cheng Hua amat marah akan tindakan Annam kerana Champa merupakan sekutunya yang penting dalam rangkaian politik dan pertahanan China.

Campa kerap menghantar wakil ke China agar mengenakan tekanan ke atas Annam untuk menyerahkan daerahnya. Tetapi para maharaja Ming hanya dapat memberikan pertolongan diplomatik kepada Campa. Tanpa sokongan ketenteraan, Campa akhirnya lenyap daripada gelanggang politik dan ekonomi Asia Tenggara.

Saya termenung memikirkan: Jika Campa sangat penting kepada China, mengapa Dinasti Ming tidak sanggup membantu dalam detik runcing itu?

Jawapannya sudah tersedia: Annam telah sanggup mencabar dan menyerang Empayar Ming. Hal ini berlaku selepas Maharaja Yong Le mangkat pada 1424 M. Raja Annam, Le Loi, telah melancarkan pemberontakan dan mengalahkan tentera Ming yang menguasai Annam pada masa itu. Akibatnya, Ming terpaksa mengakui kedaulatan Dinasti Le pada 1431 dan sejak itu Annam (Vietnam Utara) bebas daripada campur tangan China.

Sejak itu, Annam bertungkus lumus menguatkan ekonomi dan kuasa ketenteraannya.

Pada 1471 M, raja Dai Viet (nama Vietnam Utara baru) yang bernama Le Thanh Tong menyerang Campa.

Annam ialah nama lama bermakna ‘selatan yang telah diamankan’ iaitu nama yang diberikan oleh Empayar Cina.

Dai Viet akhir dapat menguasai Campa (yang menurut Sejarah Melayu sebagai sebuah kerajaan Melayu) sehingga ke muara Mekong secara bertahap-tahap.

Dinasti Ming sebaliknya tidak lagi menjadi adikuasa dunia selepas perhatiannya ditumpukan dalam soal dalam negeri dan bukan lagi antarabangsa sebagaimana dirintis oleh Laksamana Zheng He (dalam zaman Maharaja Yong Le).

Sikap sesebuah negara, biar besar sekalipun, dalam menilai kepentingan antarabangsa atau dalam negeri, boleh menentukan kedaulatannya.

Teringat saya akan seorang mahasiswa Amerika dalam kelas sejarah dunia saya tahun lalu.

Dengan tiba-tiba dia bertanya: ‘Mengapa Eropah menjadi lebih kuat?’

Daripada menjawab, saya menanyakannya pula kerana beliau seorang pelajar amat pintar dalam kelas sejarah.

‘Pada 1492 M, Christopher Columbus menemui benua Amerika… Jadi…?’

Pelajar itu menjawab: ‘Dengan perkembangan itu, pendatang Eropah mula membanjiri Amerika Utara dan menubuhkan jajahan. Benua itu sesuai kerana cuaca dan alam sekitar serupa Eropah. Lebih penting lagi, kawasan yang baru dan luas di Amerika Utara membolehkan pertanian kapas, penternakan binatang, perladangan yang lebih luas lagi.’

Saya bertanya: ‘Jadi, apa kena mengena fakta sejarah ini membuat Eropah menjadi lebih kuat?’

Pelajar itu menjawab: ‘Perkembangan ini memerlukan tenaga manusia yang banyak. Orang dari benua Afrika ditangkap dan dibeli untuk dibawa ke ladang-ladang di Amerika Utara dan Selatan menerusi kapal kepunyaan orang Eropah. Amerika Selatan menjadi tempat pengeluaran gula dengan penanaman tebu. Cuaca panas membuat tempat itu sesuai untuk aktiviti tersebut.’

Saya tanya lagi: ‘Jadi bagaimana ini membuat Eropah lebih berjaya daripada benua lain? Awak tidak memberi jawapan yang meyakinkan saya.’

Dia pun makin tertekan dan menjawab dengan nada keliru: ‘Pada 1521 M, Sepanyol memusnahkan Empayar Aztec dan memulakan penaklukan Amerika Selatan… Sementara itu, Empayar Cina berdiam saja. Afrika diperhambakan.’

Saya mencetuskan ‘tali bantu’ dengan menyebut: ‘Bagaimana dengan batasan ekologi?’

Tiba-tiba dengan yakin, beliau tersenyum dan berkata: ‘Mungkin Eropah berjaya mengatasi batasan ekologinya dengan migrasi penduduknya ke benua Amerika Utara yang mengurangkan beban ke atas sumber alam semula jadi di Eropah.

‘Penanaman tebu dan kapas meningkatkan perdagangan antara benua. Taraf ekonomi penduduk Eropah meningkat dan dengan inovasi teknologi seperti jentera wap dan ini semua meningkatkan lagi perkembangan ekonomi dan teknologi Barat. Maka, masalah batasan ekologi dapat diatasi.’

‘Apa kata jika saya tidak setuju dengan pendapat itu. Eropah menjadi kuat kerana teknologi peperangan mereka. Itulah fakta terpenting dalam memahami kejayaan Eropah menguasai dunia. Mana lebih penting? Eropah mengatasi masalah batasan ekologi atau teknologi peperangan yang menentukan kejayaannya?’ tanya saya.

Siswa itu membatu.

Saya beritahu kepada para pelajar: ‘Jangan terima jawapan yang muktamad dalam pelajaran sejarah. Apa yang difikirkan sebagai ‘fakta’ sejarah harus disoal siasat dengan terperinci lagi kerana satu jawapan mengandungi banyak lapisan yang harus difahamkan. Jangan salah sangka, ini bukan sejarah nasional, awak semua tidak harus terima maklumat dengan begitu sahaja, ok?’

Mereka semua terdiam.

Namun saya berharap suatu proses pertukaran pemikiran yang hebat sedang berlaku di antara mereka.

Hati kecil saya mengatakan: ‘Tugas selesai.’

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s