MINGGU lalu, beberapa orang kawan saya berteriak gembira.
Apa sudah terjadi?
Bukan keputusan peperiksaan cemerlang atau berita tambahan biasiswa yang mereka terima.
Seorang kawan terpekik: ‘Navy Seals GO’.
Tulisan ini dimuat di Berita Harian, Singapura, edisi 22 April 2009, dan dimuat di blog ini atas ijin penulis. Penulis menerima korespondensi dengan pembaca dan dapat dihubungi di mebah@hawaii.edu.
Sebenarnya mereka mendapat tahu bahawa nakhoda, Encik Richard Phillips, telah diselamatkan oleh Navy Seals iaitu pasukan khas tentera laut Amerika Syarikat.
Lanun-lanun Somalia telah menawan nakhoda itu untuk dijadikan tebusan peras ugut. Namun mereka telah ditembak mati oleh pasukan tiga penembak jauh (dari geladak kapal ronda USS Bainbridge).
Peristiwa ini telah mengharumkan nama Presiden Barack Hussein Obama dan menyerlahkan keunggulan pasukan elit tentera laut Amerika, demikian menurut media Amerika seperti The Washington Post.
Pentadbiran Obama telah mengizinkan tentera lautnya menggunakan apa jua cara untuk menyelamatkan nahkoda itu. Kejayaan ini menunjukkan bahawa Encik Obama dan pentadbirannya memang cekap dan tegas.
Namun kisah ini membuat saya merenung jauh.
Saya teringatkan buku A History of Malaysia karya sejarawan Dr Barbara Watson Andaya dan suaminya, Dr Leonard Andaya.
Menurut dua pakar sejarah itu, kegiatan lanun di Asia Tenggara meningkat pada kurun ke-19 Masihi. Kerajaan British hanya berjaya membanteras kegiatan lanun selepas mendapat kerjasama raja-raja Melayu.
Di Singapura, British mendapati bahawa Temenggung Ibrahim telah menggunakan orang laut untuk kegiatan melanun. Beliau didesak kerajaan penjajah British untuk segera menghentikannya.
Temenggung Ibrahim ialah anak Temenggong Abdul Rahman, yang bersama Sultan Hussin, telah menyerahkan Singapura kepada British. Beliau sedar bahawa di sebalik tekanan ini, terdapat peluang untuk membesarkan pengaruhnya untuk mendapatkan Johor.
Demi meraih sokongan British, Temenggung Ibrahim bersetuju bekerjasama dengan para pemimpin Riau untuk membanteras lanun pada dekad 1840-an.
Namun demikian, kegiatan melanun hanya berkurangan pada 1870-an, tulis para sejarawan itu.
Disusur lebih jauh, kegiatan lanun ada kaitannya dengan kebangkitan kerajaan Srivijaya dan Melaka. Kerajaan-kerajaan kelautan ini menguasai Selat Melaka sehingga selatan Laut China Selatan. Inilah perairan yang amat penting bagi perdagangan dunia di sebelah timur. Untuk selamat, kapal dagang perlu membayar cukai untuk melalui perairan di sini.
Manusia belajar daripada sejarah. Dan tanpa sejarah, manusia tiada punya akar jati dirinya.
Jadi berpandukan sejarah, melanun hanya terhenti apabila ada kerjasama antara kuasa tempatan dengan pengguna perairan.
Yang harus diamati daripada fakta sejarah ini ialah lanun tidak dapat diatasi melalui kekerasan sahaja, sebaliknya perlu ada usaha diplomasi atau dialog untuk memujuk setiap pihak agar bekerjasama membanterasnya.
Satu lagi fakta penting yang harus difahami dalam meneliti kejayaan British ialah ia mempunyai para pegawai terlatih yang arif mengenai kebudayaan dan politik Melayu. Pengetahuan ini dimanfaatkan untuk menguasai raja-raja Melayu dan akhirnya kawasan Melayu, termasuk mengatasi kegiatan lanun.
Bagaimana pula dengan Somalia?
Ia juga dipanggil Tanduk Afrika. Tanahnya gersang dan dilanda kekacauan puak sejak tamat pemerintahan kuku besi Siad Barre (1967-1991). Dek kemiskinan tegar, para nelayannya berubah mencari mata pencarian daripada menangkap ikan kepada melanun.
Mentelah terdapat bukti bahawa bekalan ikan tongkol yang menjadi sumber utama kegiatan perikanan Somalia telah pupus akibat kegiatan kapal pukat antarabangsa.
Selagi Somalia terus dicengkam kemiskinan yang keterlaluan, pada hemat saya, aktiviti lanun di perairannya akan terus meningkat. Agensi berita Bloomberg telah membuat tinjauan di kalangan pakar dan mengesahkan hal ini.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah memberi amaran bahawa kegiatan lanun di perairan Somalia akan membuat jutaan orang kebuluran kerana 90 peratus daripada bekalan makanan ke Somalia dihantar melalui kapal dan lagi 500,000 tan pula dihantar ke Mombasa, Kenya, tahun lalu.
Somalia terus bergelut dengan perang puak dan mazhab sejak 1991. Pemerintahannya kini bersifat sementara dan terpaksa dibantu oleh PBB. Oleh itu, banyak kawasan yang jauh dari ibu kota Mogadishu berada di luar kawalan pemerintah pusat.
Namun, apa yang sering kita baca ialah perspektif daripada media Barat tentang Somalia. Hakikat sebenarnya kita tidak tahu.
Ini mengingatkan saya akan sembang Internet dengan seorang kawan dari Malaysia, Encik Husni Abu Bakar, siswa doktor falsafah (PhD) dalam sastera bandingan di Universiti Riverside, California, tentang perkara ini. Beliau sudah berada di Amerika selama tiga tahun.
Beliau menjelaskan erti ‘lanun’ berbanding dengan pirate yang lazim kita gunakan dalam bahasa Inggeris.
Hujahnya, apabila terdengar perkataan pirate, orang Amerika secara automatik akan terbayangkan imej seorang lelaki bertopi lebar, berwajah kasar (mungkin ala pelakon Johnny Depp dalam filem Pirates of the Caribbean), sebelah mata bertampal dan mungkin seekor burung kakak tua bertenggek di atas bahu kanannya. Katanya, ini pengaruh industri filem Hollywood.
Tambahnya lagi, proses yang sama diharungi oleh orang Melayu apabila pihak British memaparkan orang Melayu sebagai ‘malas’ dan suka ‘mengamuk’. Ini merupakan tanggapan golongan Orientalis sejak zaman penjajahan yang dikritik hebat oleh mendiang Dr Edward Said dalam bukunya, Orientalism, dan juga tulisan ilmiah Dr Syed Hussein Alatas, Myth of the Lazy Native.
Saya tertawa dan membalas: ‘Tetapi berita Amerika memaparkan orang Somalia sebagai bersenjata AK47 dan menggunakan bot laju.’
Beliau pun tertawa dan menyatakan bahawa ini mencerminkan wujudnya perubahan minda di Amerika setelah Encik Obama menjadi presiden kulit hitam pertama. Sebahagian besar rakyat Amerika semakin sedar akan bahayanya pemikiran stereotaip. Proses ini, katanya, turut merubah pemikiran banyak siswazah dan rakyat setempat.
Jadi, adakah kita benar-benar tahu apa yang mendorong orang Somalia menjadi lanun?
Adakah mereka terdesak atau dipengaruh oleh kumpulan politik lain?
Mudah sekali orang membuat tanggapan tentang ‘lanun’ Somalia tanpa mengetahui apa pun tentang masyarakat, budaya dan sejarah negara Tanduk Afrika itu.
Dengan ilmu yang sedikit dan pemahaman yang cetek, masalah lanun Somalia tidak akan dapat diatasi. Kita perlu ke sana dan memahaminya sendiri serta mencari huraian yang tuntas.
